Hasan Ali SHAH ALAM – Tindakan Majlis Syura yang menggugurkan keahlian bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dari badan itu sudah dijangka malah turut dinanti-nantikan oleh pimpinan ‘parasit’ dalam parti itu.

Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali mendakwa, berita pemecatan itu sudah lama dinantikan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang tidak menyenangi tindak tanduk Nasharudin yang sebelum ini menghentam secara terbuka Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh kerana didakwa menghina Islam secara terang-terangan.

“Parasit dalam pimpinan Pas memang sudah lama mencari ruang dan peluang untuk mencantas beliau (Nasharudin). Golongan ini tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan keputusan Majlis Syura adalah di luar bidang kuasa mereka.

“... keputusan Majlis Syura ini sudah tentu menjadikan puak-puak parasit dan Anwarinas begitu lega dan menarik nafas panjang kerana cita-cita mereka sudah tertunai,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.