DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN KUALA LUMPUR - Bekas mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin mengulangi pendirian beliau yang bersetuju sekiranya hukum hudud mahu dilaksanakan di negara ini.

Meskipun begitu beliau menegaskan,  ia hanya boleh direalisasikan saat negara berada dalam keadaan kondusif yang bila mana penggubalan undang-undang itu dilakukan, ia menampakkan sisi indahnya Islam itu.

"Saya setuju (laksana hudud) tetapi kita kena ada kesedaran bahawa pelaksanaan hukum hudud itu perlu ada roh, ada keadaan di mana apabila hukum hudud itu dilaksanakan orang akan melihat kecantikan Islam," katanya dalam forum  Implimentasi Syariah Dalam Negara Bersifat Sekular: Adakah Malaysia Menepati Syariah Islam?" di ibu negara malam tadi.

Forum dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, 1MDB, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Media Prima.

Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) menjelaskan, sekarang bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan hukum Islam itu di negara ini.

"Ini soal hukum sebab itu kita perlu mendidik. Saya OK, boleh buat (hudud), saya kata hudud bagaikan pintu yang indah bagi sebuah istana tetapi jika dipasang di sebuah rumah yang buruk, terhempas rumah itu.