Mohamad Aiyad bin Ramli, |

Muqaddimah
Firman Allah SWT dalam al-Quran, surah an-Nisa, ayat 58:
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.
Islam merupakan agama yang syumul iaitu yang meliputi keseluruhan kehidupan manusia. Ia disebut sebagai ad-Din yang bermaksud cara hidup. Islam merupakan suatu sistem yang diturunkan Allah SWT selaras dengan fitrah manusia. Sewaktu manusia berada di alam roh, Allah SWT berfirman, maksudnya:
“Bukankah Aku ini Tuhanmu?, maka semua roh manusia menjawab “Benar, Engkau Tuhan kami, bahkan kami menjadi saksi.” (Surah al-A’raf : ayat 72)
Oleh sebab kehidupan manusia secara fitrahnya adalah makhluk berpolitik, maka suatu sistem berlandaskan Islam diperlukan. Rangkuman sistem politik berlandaskan al-adalah wal-ihsan yang menggabungkan keperibadian kepimpinan, maka wujudlah kesetaraan antara hablun minallah (hubungan dengan Allah), hablun minanas (hubungan dengan manusia) dan hablun minal alam (hubungan dengan alam). Dalam sejarah klasik, keperibadian Daud a.s dan Sulaiman a.s, kedua-duanya adalah pemerintah dan juga nabi. Dalam konteks kontemporari, kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh membebaskan Costantinople hanya 800 tahun selepas zaman Rasulullah SAW sangat berkait rapat hubungan dengan Allah SWT. Kejayaan mengangkat bahtera ke bukit lalu diluncurkan kembali ke laut berkait rapat dengan elemen tahajjud. Semua kejayaan yang dicapai adalah menggabungkan aspek fizikal dan spiritual.
Semua aspek kehidupan samada politik atau pemerintahan, menjurus kepada pengabdian diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT, bermaksud:
“Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia, melainkan untuk beribadat kepada-Ku” (Surah al-Zariat ayat : 56)