
Nur Jazlan yang menjadi anggota parlimen Pulai selama dua penggal mulai 2004 berkata adalah suatu penghormatan jika pemimpin Pas itu, yang juga anggota parlimen Kubang Kerian, mahu mencabarnya di kawasan itu.
"Salahuddin ialah naib presiden Pas dan mahu bertanding dengan seorang ketua Umno Bahagian biasa, jadi sudah pasti ia pertandingan yang amat menarik...tapi jangan anggap beliau akan mendapat laluan mudah di Pulai.
"Saya dan Salahuddin tiada masalah di Parlimen...beliau kawan saya, jika benar beliau mahu bertanding kerusi parlimen Pulai, saya mengalu-alukannya. Saya tidak gentar," katanya di sini hari ini.
Nur Jazlan berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi kuat mengatakan naib presiden Pas yang dilahirkan di Pontian itu akan bertanding di kawasan parlimen Pulai pada PRU-13 kali ini.
Kepimpinan tertinggi Pas dikatakan mahu Salahuddin bertanding di Johor bagi memimpin jentera pilihan raya pakatan pembangkang dan seterusnya menjadi calon menteri besar Johor jika berjaya mengambil alih Dewan Undangan Negeri Johor.