
BESTARI JAYA 10 MAC : Kerajaan Negeri bersedia mendedahkan surat menyurat antara Kerajaan Negeri dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sebagai tatapan kepada semua rakyat di Selangor.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan melakukan perkara terbabit dengan tertib dan bertanggungjawab melalui iklan di surat khabar.
Katanya, perkara itu akan dilakukan tidak lama lagi selepas Peter dikatakan berdolak dalik dalam isu penstrukturan semula industri air di negeri itu.
Peter sebelum ini mendakwa Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sepatutnya mendapatkan persetujuan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) terlebih dahulu dalam membuat tawaran mengambil alih empat syarikat konsesi.
Peter berkata tindakan KDEB yang tidak berbincang terlebih dahulu dengan PAAB sebelum mengaitkan PAAB dalam tawaran itu adalah tidak munasabah.
Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata dalam surat maklum balas yang dihantar oleh Menteri (Peter) itu memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan mengalu-alukan usaha KDEB untuk membuat tawaran pengambilalihan itu.
Read More / Baca Lagi >>