PUTRAJAYA, 18 Mac — Punca kelemahan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja datang daripada kelemahan Umno, tetapi juga akibat daripada kelemahan parti komponen yang hampir lumpuh akibat tewas dalam Pilihan Raya 2008, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata parti komponen seperti MCA, MIC, dan Gerakan mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya umum ke-12 akibat kehilangan besar beberapa kerusi kepada pembangkang dan perkara itu turut memberikan kesan kepada kedudukan BN.
“Kelemahan bukan sahaja Umno, tapi komponen parti yang ada masalah besar ... kita perlu buat sesuatu untuk kukuhkan parti mereka,” kata Muhyiddin (gambar) dalam pertemuan bersama 250 ahli Mubarak Wilayah Persekutuan, Veteran Umno Wilayah Persekutuan, dan Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Wilayah Persekutuan di Perbadanan Putrajaya di sini.