PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi meminta masyarakat India supaya meletakkan kepercayaan atau 'nambikei' (yakin) dalam bahasa Tamil terhadap Barisan Nasional (BN) untuk memberi harapan yang lebih baik kepada masa depan mereka.
Perdana menteri berkata keyakinan masyarakat India terhadap agenda transformasi beliau adalah penting kerana undi masyarakat India boleh menjadi penentu pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.
Katanya sejak empat tahun beliau memegang tampuk pentadbiran negara, banyak program yang dilakukan untuk memberi pembelaan kepada kaum India, dan berharap masyarakat itu terus memberi mandat kepadanya.
"Berdasarkan nambikei, kita bukan sahaja dapat meneruskan program-program, tetapi dapat meningkatkannya lagi supaya masyarakat kaum India mendapat pembelaan yang lebih baik pada masa yang akan datang," katanya.
Najib berkata demikian dalam wawancara khas program 'Helo Malaysia' versi Tamil malam ini terbitan BernamaTV di saluran Astro502.
Read More / Baca Lagi >>