Lim Kit Siang GEORGETOWN - Penasihat DAP, Lim Kit Siang kesal dengan tindakan beberapa media yang cuba meniupkan api kemarahan rakyat terhadap parti itu apabila memutar belit fakta dengan menggambarkan seolah-olah DAP mengamalkan budaya anti-Melayu.

Kit Siang berkata, adalah tidak wajar menuduh DAP anti-Melayu apabila tiada calon Melayu tercalon jawatan penting dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16.

“Kita menerima keputusan dibuat perwakilan di kongres semalam (kelmarin). Dakwaan kita anti-Melayu tidak benar sama sekali. Gambaran yang dibuat salah, hanya kerana melantik dua wakil Melayu, DAP terus dilabelkan anti-Melayu.

“Kita mohon selepas ini media lebih bertanggungjawab untuk melaporkan sebarang isu bagi menghentikan kebencian rakyat terhadap DAP,” katanya kepada media, semalam.