Rakyat Turki telah mencipta sebuah keajaiban moden yang hampir tidak dapat dipercayai, mematahkan sebuah rampasan kuasa tentera di subuh hari dengan mempertaruhkan nyawa mereka sendiri, kata Adun Salor, Datuk Husam Musa.
"Begitu tangkas, cekal dan serentak, sehingga menjadikan rampasan kuasa ini begitu dramatik - seakan sebuah drama.
"Mungkin kerana itu, ramai pimpinan dan penyokong sebuah parti Islam di negara kita memberikan komen senada - 'lakonan Erdogan!', katanya melalui kenyataan hari ini
Komen seperti ini katanya, akibat mereka tidak dapat mengawal 'dendam dan penolakan politik' bagi gerakan Islam selain bentuk dan wadah mereka - sampai ke Turki!
"Erdogan telah digelar berjuang atas jalur sekular. Pemimpin liberal yang telah meninggalkan 'jama'ah Islam'. Tidak ada sedikit pun jasanya kepada Islam dan negara Turki.
"Erdogan bukan lagi dalam senarai anggota 'jama'ah Islam', apa lagi pemimpin gerakan Islam - bila beliau tidak lagi bersama 'jama'ah Islam' asal iaitu Sa'adat Party," katanya.
Beliau mengimbas kembali bagaimana kudeta ini dipatahkan - laungan azan di seluruh masjid secara berterusan, solat subuh memenuhi jalanraya dan dataran, rakyat tanpa senjata meredah tembakan mesingan dan laungan takbir membelah malam.
"Perhatikan reaksi negara Barat pada detik-detik awal rampasan kuasa ini bermula. Mengapa Barat menunggu sehingga rampasan kuasa telah ditundukkan untuk membuat kenyataan menyokong kerajaan demokratik pilihan rakyat?
Mengapa mereka membisu sebelum itu?" soalnya.
Beliau mengajak kita memerhati pergolakan dalaman dan geo politik tempatan dan antarabangsa yang melatari rampasan kuasa ini. Termasuk elemen Gulen yang tidak difahami atau cuba dilupakan oleh setengah pihak yang tidak biasa dengan politik Turki.
Paling menarik katanya adalah keajaiban teknologi moden - apa lagi di tangan seorang pemimpin yang berhati waja, cekap dan bijak.
"I Phone telah mendapat lonjakan baru.
"Face Time Erdogan menyeru kebangkitan rakyat Turki adalah klimaks drama ini!," kata beliau.
Beliau seterusnya mengajak untuk imbas kembali detik-detik peristiwa ini.
"Tentera merampas stesen tv dan radio (TRT) sehingga jalur komunikasi massa tidak lagi di tangan kerajaan. TV Turki mengumumkan, Majlis Keamanan telah ditubuhkan tentera selepas rampasan kuasa didakwa telah berjaya.
"Tentera mengawal dua airport dan menutup yang ketiga. Menutup jambatan yang menghubungkan Istanbul. Mengebom bangunan Parlimen di Ankara sebanyak sembilan kali.
"Bertempur dengan anggota polis di ibu pejabat risikan Turki atau MIT.
"Meletakkan kereta kebal, tentera ber-mesingan, helikopter dan jet pejuang mengawal tempat-tempat strategik di seluruh negara.
"Mengumumkan tentera telah berjaya mengambil alih Turki," katanya.
Semua ini menurut beliau disambut oleh media Barat dengan propaganda yang selari.
"Naratif mereka adalah kudeta ini berjaya. Erdogan cuba melarikan diri ke German tetapi gagal.
"Laman web Geopolitical Future dalam analisa awalnya telah menyiarkan berita kudeta itu telah berjaya.
Read More / Baca Lagi >>