Negara tidak memerlukan terlalu banyak parti dalam blok pembangkang lebih-lebih lagi yang kerana kecewa atau ingin menjadi pemimpin
PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad disarankan ‘tutup mulut’ jika mahu parti-parti pembangkang bersatu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga menyarankan Amanah dibubarkan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Blok pembangkang akan tenang kalau Khalid Samad boleh ‘tutup mulut’ atau Amanah dibubarkan. Saya sebagaimana orang ramai melihat Amanah akan berhadapan dengan masalah kerusi mana yang akan ditandingi pada pilihanraya umum akan datang.
“Keadaan ini akan mendedahkan persaingan tiga penjuru sebagaimana dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan menjawab saranan Khalid supaya pemimpin PAS membuat ketetapan sebulat suara jika mahu berkawan semula dengan rakan komponen daripada Pakatan Harapan (PH) untuk menentang Barisan Nasional (BN).
sebelum ini, Khalid berkata Amanah tidak ada masalah sekiranya Tuan Ibrahim mahu PAS berkawan semula dengan parti-parti pembangkang dalam Pakatan Harapan.
Namun dalam kenyataan itu beliau sempat membidas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Bincang dan fikir betul-betul sesama sendiri sama ada hendak berkawan untuk lawan BN atau tidak. Jangan sekejap kata hendak bermusuh dengan DAP, bermusuh dengan Amanah kerana kita tidak ada masa,” kata Khalid.
Khalid berkata demikian menjawab seruan Tuan Ibrahim sebelum ini yang menyeru ‘gencatan senjata’ antara parti-parti pembangkang, dan menghalakan ‘senjata’ masing-masing kearah BN.
Menjawab serangan Khalid itu, Tuan Ibrahim berkata negara sebenarnya tidak memerlukan terlalu banyak parti dalam blok pembangkang “lebih-lebih lagi kerana kecewa atau ingin menjadi pemimpin”.
Read More / Baca Lagi >>