Menteri itu berkata sekiranya DoJ mempunyai bukti untuk mengheret perdana menteri, nama beliau akan dinamakan dalam dokumen DoJ itu.
PUTRAJAYA: Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat patut sekurang-kurangnya berusaha menghubungi pihak 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi mendengar penjelasan mereka daripada hanya bersandarkan laporan portal berita (Sarawak Report), kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini.
Menyifatkan amat tidak wajar bagi Peguam Negara Amerika Loretta Lynch menggunakan bahasa begitu tegas dalam situasi apabila beliau sendiri tidak pasti sama ada terdapat kes atau tidak, katanya ‘pertuduhan belum diputuskan’ namun memberikan pandangan prejudis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan Malaysia dan 1MDB.
“Apabila kita baca (dokumen setebal) 136 muka surat itu, kita mendapati ia bersumberkan kepada Sarawak Report yang mempunyai agenda politik berat terhadap kerajaan, BN dan perdana menteri. Jadi, kemusykilan kita ialah kenapa DoJ tidak menghubungi 1MDB untuk mengesahkannya? Sekurang-kurangnya dapatkan penjelasan di sebelah pihak yang satu lagi.
“Itu saja soalannya. Kenapa anda pergi ke mahkamah dan beritahu seluruh dunia tentang kisah anda sedangkan ia masih belum siap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Unit Perancang Ekonomi (EPU) di sini.
DOJ baru-baru ini memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang didakwa diselewengkan.
Sementara itu, Abdul Rahman yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas EPU berkata, perdana menteri telah berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dan dana rakyat tidak terlibat.
Read More / Baca Lagi >>