Nenek moyang guna ketum sebagai herba pemulih tenaga, orang sekarang campur dengan ubat batuk jadikan dadah, kata Salehuddin
PETALING JAYA: Cadangan membenarkan pekebun kecil menanam mitragyna speciosa (ketum) sebagai sumber pendapatan tambahan dianggap menjemput ‘malapetaka’.
Ini kerana cadangan penanaman ketum secara meluas seolah membuka ruang luas kepada penyalahgunaan dadah, menurut Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Penggunaan daun ketum tidak seperti zaman dahulu. Jika dulu, zaman nenek moyang menggunakan daun sebagai minuman pemulih tenaga terutama wanita selepas bersalin dan buang angin.
“Bagaimanapun penggunaan daun ketum mula disalahgunakan. Ketagihan terhadap daun ketum yang mengandungi mitraginin membuatkan segelintir masyarakat secara ‘kreatif’ mencampurkan rebusan ini dengan ubat batuk,” kata Pegawai Perhubungan AADK Salehuddin Klewan kepada FMT.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Zahidi Zainul Abidin Selasa lepas memohon kerajaan membenarkan pekebun kecil menanam ketum secara komersil sebagai sumber pendapatan tambahan.
Menurut Zahidi, ketum yang dikatakan mempunyai nilai perubatan boleh dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah kerana terdapat permintaan tinggi dari farmasi di sana.
“Dari suduh positif, cadangan Risda bagi memenuhi permintaan dalam bidang farmaseutikal memang ada baiknya namun saya lihat implikasi negatif lebih besar daripada positif,” jawab Salehuddin.
“Beberapa operasi penangkapan individu terlibat dengan penyalahgunaan dadah di utara beberapa bulan lalu, kami ada menjumpai daun ketum.”
Read More / Baca Lagi >>