“Dalam Pakatan Harapan kita setuju untuk tidak bersetuju," kata Timbalan Presiden PKR itu
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR meremehkan pertembungan antara Ketua Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua dan penasihat undang-undang PKR Latheefa Koya dengan menyifatkannya sebagai satu “perbincangan”.
“Tak ada (pergaduhan). (Hanya) Perbincangan. (Tanggapan pergaduhan) sebab anda tidak lihat hal seperti ini dalam BN.
“Dalam Pakatan Harapan kita setuju untuk tidak bersetuju,” kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui pemberita dalam majlis pelancaran Pesta Buku Selangor 2016 di Pusat Konvenshen Shah Alam hari ini.
Interaksi dua pemimpin itu menunjukkan keterbukaan Pakatan Harapan menanggapi perbezaan pandangan antara komponennya, katanya lagi.
Jawapan itu terbit di sebalik komitmen PKR, DAP dan Amanah sebelum ini untuk tidak lagi mengamalkan prinsip ‘setuju untuk tidak bersetuju’ bagi mengelakkan nasib yang menimpa Pakatan Rakyat.
Dalam Perjanjian Pakatan Harapan yang dimeterai 9 Januari lalu, setiap parti masih boleh membuat keputusan politik dengan syarat tidak bertentangan dengan perjanjian dan keputusan bersama.
Berikutan ketiadaan kata putus antara DAP dan PKR dalam isu pilihan raya kilat di Pulau Pinang, Tony menggunakan Facebook untuk meluahkan rasa kecewa terhadap ‘kawan’ yang tidak mahu menyokong DAP.
Read More / Baca Lagi >>