Pakatan Harapan sepatutnya boleh membentuk satu gabungan teragung yang mampu berdepan dengan BN.
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata setiap parti dalam Pakatan Harapan seharusnya mempunyai sikap ‘merendah diri’ untuk menerima parti baharu yang mempunyai dasar dan agenda reformasi sama dalam menentang BN/Umno.
Beliau berkata Pakatan Harapan turut bersedia bergabung dengan parti baharu yang ingin ditubuhkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad jika mereka komited untuk bersama-sama dengan agenda yang dibawa Pakatan Harapan.
“Kita mestilah mempunyai sikap merendah diri untuk menerima terdapat perbezaan dalam gabungan ini (sekiranya bergabung dengan parti baharu Dr Mahathir). Tetapi perlu juga kita menghormati satu sama lain dan berpegang dasar bersama dalam satu agenda.
“Mana-mana individu dan pihak yang ingin membawa kepada agenda pembaharuan sepatutnya bekerja bersama dengan Pakatan Harapan dan semua parti pembangkang.
“Saya rasa jika kami bersama-sama mereka, kami sepatutnya boleh membentuk satu gabungan teragung yang mana boleh menghadapi BN,” katanya kepada pemberita di Dewan Annex SUK hari ini.
Azmin berkata demikian ketika ditanya mengenai penubuhan parti baharu yang ingin ditubuhkan Dr Mahathir dalam gagasan pembangkang.
Dr Mahathir pada pertengahan Julai lalu mengumumkan satu pakatan parti pembangkang yang melibatkan sebuah parti baharu, PKR, DAP dan Amanah akan ditubuhkan untuk menentang BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.
Sementara itu, Azmin berkata pengumuman Dr Mahathir itu turut disambut baik memandangkan objektif penubuhannya jelas serupa dengan gabungan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan BN/Umno.
Read More / Baca Lagi >>