Hishammuddin yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata, kemelut itu perlu diselesaikan bermula dari peringkat perhubungan negeri, bahagian dan cawangan.
"Ini bukan kali pertama, tetapi ia boleh ditangani jika ada iltizam politik dan keseriusan dalam kalangan ahli (dan pemimpin)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh 2016 di sini, hari ini.
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Sejak awal minggu lalu Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Adun Kijal saling mengkritik sesama sendiri hingga timbul spekulasi akan berlaku pilihan raya negeri.
Pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, Umno Terengganu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti tipis dua kerusi. Umno menang 17 kerusi DUN, Pas (14) dan PKR (satu).
Sementara itu di Dungun, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berpendapat Ahmad Razif dan Ahmad seeloknya bersemuka bagi menyelesaikan kemelut antara mereka.
Beliau berkata pertemuan melibatkan 'tuan punya badan' lebih baik daripada diwakili pihak lain kerana sebarang keputusan haruslah daripada mereka sendiri kerana mungkin wakil mempunyai agenda tersendiri.Read More / Baca Lagi >>