"Pertelagahan antara Ahmad Razif dan Ahmad Said dilihat tiada kesudahan namun Najib hari ini menjadi ‘bapa’ kepada 'sepasang suami isteri ' atau 'adik-beradik' yang bertelagah di Putrajaya hari ini."
Hari ini Ahmad Razif Abdul Rahman ditanya oleh wartawan sama ada akan menemui Perdana Menteri dalam masa terdekat berhubung kemelut yang melanda pucuk pimpinan UMNO Terengganu.
Jawapan beliau ialah tidak perlu.
Menurutnya Perdana Menteri sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini berhubung isu itu.
"Saya sering berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi keyakinan kepada beliau bahawa keadaan di Terengganu terkawal, tidak ada yang perlu dibimbangkan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Anak Terengganu, di Putrajaya tengah hari ini.
Semua pihak memang mengharapkan Perdana Menteri berbuat sesuatu.
Dan sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebenarnya beliau TELAH MELAKUKAN SESUATU.
Biarpun Ahmad Razif cuba menyorok pertemuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/BN dengan Perdana Menteri pagi ini di Putrajaya dan menggambarkan beliau sering dimaklumkan oleh Perdana Menteri, hakikatnya ADUN UMNO dipanggil pagi ini untuk satu pertemuan di Putrajaya jam 10 pagi tadi.
Kita sangat berharap perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan ADUN UMNO pagi ini di Putrajaya membuahkan hasil.
Ia penting untuk menghapuskan kemelut politik Terengganu yang semakin hangat, walapun cuba didinginkan oleh kenyataan Ahmad Razif.
Usaha ini menguji kebijaksanaan Najib dan juga kebijaksanaan pemimpin ADUN UMNO dan pemimpin UMNO Terengganu. Yang penting kerajaan BN dikekalkan. Jangan sampai ia runtuh.
Ahmad Razif sendiri tidak melakukan seperti apa yang dibuat oleh Najib itu dengan memanggil semua wakil rakyat bagi mendapat sokongan majoriti susulan kemelut berkenaan.
Akibat kegagalannya berbuat demikian maka timbul spekulasi bahawa Sembilan daripada ADUN Terengganu tidak bersama Ahmad Razif. Benar atau sebaliknya hanta Ahmad Razif, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan kalangan ADUN sahaja yang tahu.
Isu pertelagahan antara Ahmad Razif dan Ahmad Said dilihat tiada kesudahan apabila ia gagal diselesaikan di peringkat negeri sehingga memerlukan campur tangan pusat.
Najib hari ini menjadi ‘bapa’ kepada 'sepasang suami isteri ' atau 'adik-beradik' yang bertelagah (mengambil cakap Ahmad Razif) di Putrajaya hari ini.