Razif: Nyawa-nyawa ikan. |
Ribut itu kini bergerak kencang melanda Terengganu pula. Peralihan ribut itu menyebabkan paras air laut dan ombak lautan China Selatan yang sudah pun bergelombang sebelum ini menjadi naik mendadak.
Rakyat Terengganu khasnya yang peka politik kini laksana nelayan yang mencari makan dengan turun ke laut, tidak senang duduk, kerana dihumbam dengan cerita politik negeri Penyu itu yang bergelora. Mereka menunggu dan menanti masa sahaja bila DUN Terengganu akan dibubarkan?
Walaupun rakyat Terengganu sudah "muhib" dengan laut, ombak dan badai, namun gelora lautan politik itu menyebabkan mereka terpanggil untuk memerhatinya. Mereka menunggu dengan penuh minat apakah gelora itu sehingga memaksa DUN dibubarkan dan Pirane diadakan sebagai titik nokhtahnya. Setengah mereka suka kalau DUN dibubarkan kerana ia memberi peluang untuk mereka mengutip rezeki jatuh.
MB Ahmad Razif sendiri membayangkan dia seakan lebih suka kalau Dun dibubarkan dan pilihan raya diadakan. Baginya alternatif itu terbaik buatnya? Beliau yakin BN akan menang besar dengan mengukur keupayaan itu kepada masalah yang melanda parti-parti pembangkang kini.
Ghazali tentang Razif. |
Syed Azman layak jadi MB. |
Memerhati apa yang berlaku di Terengganu itu, bersandarkan perkembangan muasir, meletakkan keadaan Razif dan Umno Terengganu bagaikan telor di hujung tanduk. Razif kini seakan sedang bernyawa-nyawa ikan. Bila-bila masa sahaja nafas politiknya akan lucut. Air kuasa yang menjadi penyambung hayatnya kian menyurut menampakkan bongkah-bongkah kekecewaan.
Dalam melihat realiti di Terengganu itu, sore semalam saya kebetulan dihubungi oleh Adun Bandar yang juga kawan lama sdr Azan Ismail. Jadi dapatlah saya meninjau dan bertanyakan pandanganya berhubung perkembangan dan senario politik di negeri Penyu itu serta apa yang bakal berlaku dalam Dewan.
Lama juga berbicara dengan Azan, termasuk bertanya khabar tentang peluang dan hubungan PKR dengan parti agama (Pas) Terengganu.
Menurut maklumat dan "ikhtisar" oleh Azan, kedudukan Ahmad Razif kini sangat-sangat mencemaskan. MB itu katanya sudah hilang kekuatan dan naungan (maruah) untuk melindungi kekuasaanya. Kata Azan, justeru beliau harus membuat sesuatu tindakan segera.
Bagi Pengerusi PKR Terengganu itu, tindakan paling baik untuk diambil oleh Razif ialah dengan menghadap Sultan memohon agar DUN Terengganu dibubarkan bagi membolehkan satu pilihan raya diadakan. "Tidak ada cara lain paling baik bagi Ahmad Razif, melainkan minta Sultan perkenan untuk dibubarkan Dun."
Menurutnya Razif sudah hilang tiga kuasa naungan (maruah) dimana dengan kehilangan ini MB itu sudah tidak ada kekuatan dan maruah lagi. "Kalau ambo jadi dia, ambo berundur dengan terhormat untuk jaga maruah. Ambo ambil jalan pintas sebelum dipintasi," tekan Azan sedikit berfalsafah.
Atau pun kalau tidak berundur, tegasnya bubarlah Dewan dan adakan pilihan raya semula untuk mendapat mandat baharu daripada rakyat, biar rakyat menentukan siapa berhak. Razif kena faham kedudukannya kini sebagai MB adalah umpama meminjam kuasa Ahmad Said," sambungnya.Read More / Baca Lagi >>