Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbuka kepada melayu dan bumiputera, kini secara rasmi dihantar untuk pendaftaran ke Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) oleh bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabat pertubuhan itu petang ini.
Muhyiddin selaku Pengerusi jawatankuasa protem berkata, beliau mengharapkan usaha untuk mendaftarkan parti baharu itu akan mendapat pertimbangan dan kelulusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada RoS yang telah memberi kerjasama kepada saya dan AJK penaja Bersatu yang hadir hari ini.
"Selaras dengan jaminan yang diberikan oleh Zahid bahawa permohonan kami akan diberikan pertimbangan dan diluluskan.
"Saya berharap parti Bersatu ini dapat kelulusan segera daripada pendaftar pertubuhan," ujarnya dalam sidang media diadakan.
Muhyiddin berkata, parti baharu ini bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dan seluruh rakyat termasuk parti politik yang mempunyai hala tuju yang sama dengan penubuhan parti Bersatu itu.
"Kita sanggup bekerjasama dengan parti politik dan badan bukan kerajaan yang mempunyai prinsip dan matlamat perjuangan sama.
"Bersatu terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berstatus Melayu dan Bumiputera, orang Asli dan anak negeri Sabah, Sarawak
seperti yang ditakrifkan dalam perlembagaan negeri dan negara," ujarnya.
Ditanya sokongan ahli parti Bersatu, Muhyiddin menegaskan parti baharu ini tidak semata-mata mengharapkan sokongan ahli Umno sahaja.
"Saya tidak mengharapkan sokongan dalam Umno (ahli Umno). Saya faham di kalangan ahli mahupun bekas ahli Umno ramai menunjukkan minat mereka. Tetapi tidak bersedia katakan secara terbuka. Kita bagi ruang baru bukan sahaja kepada ahli Umno malah kepada sesiapa sahaja," jelasnya.
Muhyiddin ketika diajukan pertanyaan tidak menafikan perlu mengadakan perbincangan dengan parti-parti pembangkang yang sebelum ini mengharapkan tertubuhnya parti baharu.
"Secara tidak rasmi sebelum penubuhan parti kita dapatkan pandangan pelbagai pihak. Ia berdasarkan kepada perbincangan beberapa parti lain yang agak positif.
Read More / Baca Lagi >>