Penerapan nilai Islam sudah lama berlaku di sekolah kerajaan dan ia tidak menjadi faktor sekolah kebangsaan semakin ditolak, kata sebuah NGO pendidikan.
KUALA LUMPUR: Sekolah kebangsaan tidak lagi menjadi pilihan ibu bapa kerana pencapaian yang teruk dan bukannya kerana menjadi “terlalu Islamik”, kata sebuah badan pendidikan.
Zul Fikri Zamir yang menjadi pengasas bersama Teach For The Needs (TFTN) berkata jika pencapaian sekolah kebangsaan lebih baik berbanding sekolah aliran Cina, ibubapa tanpa mengira kaum pasti akan menghantar anak mereka ke sana.
“Ibu bapa semakin berminat menghantar anak ke sekolah aliran Cina kerana prestasi, ini jelas. Kayu ukurnya bukan Islamik atau tidak.
“(Penerapan) nilai Islam di sekolah kebangsaan sudah lama berlangsung, dan tidak pernah menjadi isu. Jangan kita terperangkap dengan polemik remeh,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini FMT melaporkan kajian 2 tahun Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) mendapati persepsi sekolah kebangsaan “terlalu Islamik” dan pentadbiran yang didominasi satu kaum antara punca sekolah jenis kebangsaan menjadi pilihan ibu bapa.
Susulan itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tidak akan membenarkan sekolah kebangsaan menjadi “terlalu Islamik”, mengundang beberapa pertubuhan Islam termasuk PAS.
Read More / Baca Lagi >>