Sejak kecil saya adalah seorang yang suka bercita-cita dan membayangkan apakah yang akan terjadi pada masa hadapan. Terutamanya tentang kehidupan saya bersama dengan orang yang saya sayangi. Bagaimanapun, kebanyakkan apa yang dibayangkan adalah bersifat kegembiraan dan sangat sedikit perkara yang mengecewakan. Sehinggalah saya menghadiri satu temuduga kerja di sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Centre for Reform Democracy and Social Initiative. Temuduga itu telah mengubah bentuk angan-angan saya.
Saya ditanya suatu soalan; apakah yang saya akan lakukan sekiranya dalam kalangan keluarga anda ada yang ingin atau telahpun keluar daripada agama yang saya anuti sekarang iaitu Islam? Saya terdiam bagi beberapa ketika kerana terkejut tetapi pada masa yang sama terus berfikir. Walaupun secara asasnya saya mempunyai pandangan tentang perkara ini tetapi tidak dinafikan apabila ianya berkaitan dengan individu yang disayangi, perasaan berkecamuk memikirkan apakah yang bakal berlaku sekiranya perkara ini benar-benar terjadi.
Saya berpendapat set kepercayaan seseorang sama sekali tidak boleh dipaksakan kepada orang lain untuk menerimanya. Bilal bin Rabah ketika mana disebat dan dihempapkan batu ke atasnya oleh Umaiyyah bin Khalaf supaya meninggalkan agama Islam, beliau tetap menyebut Ahad (Satu) yakni mengesakan Allah. Keyakinan terhadap sesebuah agama atau kepercayaan adalah apa yang diyakini dan tertanam di dalam jiwa manusia.
Jika seseorang telah mempunyai set kepercayaan yang diyakini, walaupun keselamatan dirinya terancam dia akan tetap dengan pegangannya. Seperti mana Socrates yang telah memilih untuk meminum hemlock daripada melarikan diri kerana disabitkan kesalahan merosakkan pemikiran anak-anak muda di Athens untuk tidak mempercayai tuhan yang dipercayai oleh negara.
Dia percaya sekiranya dia pergi ke tempat yang lain, dia akan terus mempersoalkan perkara yang tidak dipersetujuinya. Bahkan dia sanggup mati demi mempertahankan set kepercayaannya.
Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka dalam Tafsir Al-Azhar membahaskan ayat; Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam) (al-Baqarah: 256) dengan menyatakan orang tidak akan dipaksa memeluknya, tetapi orang hanya diajak berfikir. Jika terdapat paksaan, mestilah timbul perkosaan fikiran dan mestilah timbul taqleed.
Beliau menambah lagi, manusia sebagai seseorang akan datang dan pergi, akan lahir dan mati tetapi fikiran manusia akan terus berjalan. Maka penilaian manusia atas agama akan dilanjutkan dan kebebasan berfikir dalam memilih keyakinan adalah menjadi tujuan dari manusia yang telah maju.
Read More / Baca Lagi >>