Musa tidak mengaitkan mana-mana individu berhubung derma politik tersebut, bagaimanapun diketahui umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini dikaitkan dengan wang derma bernilai RM2.6 bilion.
Najib mengatakan wang tersebut adalah derma politik daripada kerajaan Arab Saudi, itu pun selepas bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak penjelasan berhubung wang tersebut sehingga dipecat daripada Kabinet.
Musa berkata Umno satu ketika dulu amat teliti dalam penerimaan derma politik sehinggakan penderma berasa tidak selesa ketika diberitahu tidak mengharapkan apa-apa balasan.
Menulis dalam buku Frankly Speaking yang mengisahkan pengalaman sepanjang karier politiknya, Musa yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno pada awal 1970-an kerap berjumpa timbalan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, yang terkenal dengan ketegasan menguruskan wang.
Katanya, sebaik sahaja tarikh pilihan raya diumumkan, Umno akan mengumumkan parti itu bersedia menerima sumbangan kewangan bagi membiayai kempennya.
“Peraturan asas Tun Ismail ialah setiap sumbangan, termasuk dari sektor swasta, mesti diisytiharkan dan tidak boleh diterima secara peribadi,” kata Musa, yang menganggap dirinya seorang jahil dalam soal mendapatkan dana bagi parti, walaupun ketika itu menjawat timbalan menteri perdagangan dan industri di bawah pentadbiran perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein.
Katanya amalan itu diteruskan pada era pentadbiran Tun Hussein Onn, perdana menteri ketiga menggantikan Razak.
“Malah, Tun Hussein Onn mungkin lebih teliti,” tulis Musa.
“Zaman itu, ketirisan dan salah guna dapat dielakkan.
“Malangnya, prosedur sedemikian tidak lagi menjadi amalan biasa pada hari ini.”
Musa pernah dibuang parti sebelum kembali semula ke dalam Umno di bawah pentadbiran Razak, yang dibantu timbalannya Ismail.
Ismail memegang jawatan nombor dua itu selama tiga tahun sebelum meninggal dunia pada 1973.
Menceritakan lanjut, Musa berkata setiap sumbangan diterima Umno mesti ada saksi yang mengesahkan jumlah yang diterima, sebagaimana dituntut Ismail yang amat teliti dengan setiap sen diterima parti.
“Selalunya saya yang menjadi saksi tersebut, dan kerap kali membawa masuk orang lain termasuk setiausaha politik saya, Shahrir,” kata beliau merujuk Ahli Parlimen Johor Bahru Datuk Seri Shahrir Abdul Samad.
Musa menceritakan bagaimana penderma yang berjumpa Ismail merasa tidak selesa dengan sikap lantangnya.
“Beliau akan bertanyakan mereka tujuan mereka berkunjung,” tulis Musa.
Apabila diberitahu mereka ingin membantu Umno, Ismail akan menyoal lagi, “Dan mengapa kamu mahu memberikan sumbangan ini?”
Read More / Baca Lagi >>