KOTA BHARU - Umno Kelantan sedia berdepan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada PRU14 akan datang, kata Ketua Penerangannya, Datuk Md Alwi Che Ahmad.
Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa, namun Umno Kelantan akan terus komited mendukung perjuangan parti bagi membela nasib rakyat.
Perjuangan kita masih belum tergugat dan agenda Umno akan tetap diteruskan, kata Md Alwi yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Ketereh.
"Kita bersedia bertemu mereka pada PRU14 akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Berkelompok Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Ketereh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok di sini, hari ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 anggota perwakilan itu turut disertai Ketua Pergerakan Wanita Umno bahagian Ketereh Sabariah Hamzah, Ketua Pemuda Umno bahagian Ketereh Mohd Azam Ismail dan Ketua Puteri Umno bahagian Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin.