Selepas 84 tahun beroperasi, AAM kini tidak mampu membayar gaji pekerja dan hampir setahun tidak membayar caruman KWSP.
SHAH ALAM: Persatuan Automobil Malaysia (AAM), penyedia perkhidmatan penyelenggaraan kereta di seluruh negara yang beroperasi sejak 1932, dijangka gulung tikar.
Ini susulan syarikat itu berdepan krisis ekonomi apabila tidak mampu membayar gaji kepada 300 pekerja sejak empat bulan lalu manakala sudah hampir setahun tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
AAM bukan syarikat kecil dan pernah gemilang di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Malah ia diiktiraf sebagai pihak berkuasa permotoran yang bertindak sebagai jurucakap rasmi bagi pemilik kenderaan bermotor Malaysia dan memperjuangkan hak penggunaan selamat di jalan raya.
Pekerja AAM, Mohamad Tajuddin Jailani, 48, berkata tindakan kejam AAM yang tidak membayar gaji kakitangan menyebabkan kehidupan mereka terjejas teruk.
Katanya, ada pekerja yang berdepan dengan kereta ditarik bank, dihalau dari rumah kerana tidak ada wang untuk membayar sewa bulanan.
“Sepanjang empat bulan kami tak dibayar gaji, kami terpaksa guna duit tabung simpanan untuk sara kehidupan keluarga, dan duit itu sudah habis. Kami tidak tahu macam mana nak sara keluarga.
“Ada antara kami kena tarik kereta dan yang sampai kena halau dari rumah sewa pun ada sebab gaji tak dapat dan hendak bayar sewa kereta dan rumah pun tidak boleh.
“Keadaan kami sangat kritikal ketika ini, ada yang bekerja di stesen minyak dan pasar raya besar,” katanya ketika ditemui bersama 100 pekerja lain yang membuat tuntutan di depan pejabat AAM di Shah Alam hari ini.
Read More / Baca Lagi >>