Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata, rakyat mahu hanya ada satu 'coalition' saja untuk menentang Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, mana-mana pihak yang dilihat bersekongkol dengan BN perlu ditolak.
"Kita perlu jatuhkan Umno-BN untuk lakukan perubahan kepada sistem yang dirosakkan Umno," ujarnya dalam satu forum di Petaling Jaya.
Mengulas lanjut, Faiz berkata, blok pembangkang tidak boleh berada dalam keadaan terawang-awang sebaliknya usaha untuk mengukuhkan Pakatan Harapan perlu diteruskan.
"Kita perlu ambil kira kemungkinan berlakunya pertembungan tiga hingga empat penjuru dalam pilihan raya akan datang.
"Oleh itu, Pakatan Harapan perlu menyusun strategi untuk berdepan dengan pertembungan itu," ujarnya.
Beliau menyifatkan Amanah menyambung kesinambungan Pakatan Rakyat yang terkubur.
"Kita tidak boleh nafikan Pas yang menamatkan riwayat Pakatan Rakyat dalam muktamar pada 2015 manakala tahun ini muktamar muslimat pula memutuskan hubungan dengan PKR," jelasnya.
Faiz yang juga peguam itu menyifatkan apa sahaja penubuhan parti baharu atas dasar reformasi amat dialu-alukan.
"Bekas-bekas kerajaan dalam Bersatu lebih tahu kepincangan yang berlaku dalam kerajaan," ujarnya lagi.