SANDAKAN - Penubuhan parti baharu oleh bekas pemimpin Umno tidak akan mengugat Sabah sebagai simpanan tetap Umno dan BN, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata, Umno Sabah telah menunjukkan prestasi yang baik untuk terus menjadi kubu kuat dan simpanan tetap Umno dan BN.
"Biar hujan datang, biar gelombang melanda, biar badai kencang ... namun Umno dan BN tetapi perkasa di bumi Sabah, negeri di bawah bayu.
"Solidariti dan kesepaduan kalangan ahli Umno dan BN khususnya di Sabah, saya yakin negeri ini terus menjadi simpanan tetap," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan serentak Umno Zon Lima Sabah, di sini hari ini.
Zon lima membabitkan Umno Bahagian Libaran, Sandakan, Batu Sapi, Beluran dan Kinabatangan.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah, selaku Ketua Bahagian Umno Libaran, Datuk Seri Musa Aman dan empat lagi ketua bahagian berkenaan iaitu Tan Sri Ampung Puyun (Sandakan), Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk Samsudin Yahya (Batu Sapi) dan Datuk James Ratib (Beluran).
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menegaskan betapa pentingnya soal kesatupaduan dan perpaduan dalam kalangan anggota dan pemimpin Umno.
"Kalau kita bersatu-padu, biarlah apa pun datang, tokoh apa pun datang (tidak akan tergugat), tidak perlu kutuk orang itu dan ini. Cabaran itu mampu dihadapi asalkan kita bersama-sama, bersatu hati, fikiran dan tindakan," katanya.
Ahmad Zahid yang menjalankan tugas timbalan presiden Umno turut mengingatkan semua anggota dan pemimpin Umno untuk tidak mengambil mudah soal solidariti dalam menghadapi cabaran khususnya penubuhan parti baharu itu.
Katanya sejarah politik di negeri ini menunjukkan ketika parti USNO memerintah, atas rasa kemarahan (pihak tertentu) maka sebuah parti baharu wujud dan mendapat kemenangan yang banyak pada pilihan raya umum.
Read More / Baca Lagi >>