Liow berkata MCA akan meminta semula tiga kerusi Parlimen milik mereka di Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju dari UMNO.
JELEBU: MCA sudah memuktamadkan calonnya bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai langkah awal untuk menawan kembali kerusi yang tidak dimenanginya pada pilihan raya umum lepas, kata presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Menurut Liow, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk berbincang tentang calon yang dipilih itu.
“Kriteria bagi pemilihan calon kami bukan sahaja berlandaskan keputusan parti, tetapi juga seseorang calon itu mestilah disukai ramai dan boleh menang. MCA perlu mendapatkan kembali sokongan kaum Cina dan di Negeri Sembilan, kami sudah mengenal pasti kesemua 10 kerusi berkenaan.
“Kami membahagikan mereka kepada beberapa kategori dan meletakkan banyak tumpuan untuk memenangi semula kerusi-kerusi itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Operasi Chennah MCA di Titi, dekat sini hari ini.
Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata MCA akan meminta semula tiga kerusi Parlimen milik mereka di Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju dari UMNO.
“Kita pinjamkan tiga kerusi parlimen kepada UMNO dan mahu dapatkannya semula. Kami yakin UMNO akan membantu MCA untuk memenangi sokongan Melayu.
Read More / Baca Lagi >>