Walaupun sudah masuk alaf ke-21, seks masih menjadi satu topik ‘taboo’ dalam masyarakat kita. Sebab itu jugalah sebahagian parti politik di Malaysia gemar menggunakan isu seks seperti video atau orientasi seksual bagi mengenakan musuh politik mereka. Rakyat Malaysia dalam sekelip mata terus berubah menjadi terlebih alim, bertubi-tubi menghukum pihak yang terlibat dalam hal seumpama itu.
Kita juga boleh lihat bagaimana badan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selalu merempuh masuk rumah dan bilik hotel untuk menghentikan sebarang parti liar atau menangkap pasangan yang berkhalwat. Pendek kata, negara ini negara ‘suci’ yang menganggap sebarang perlakuan seks tanpa nikah, sama ada lurus atau songsang sebagai menjijikkan.
Maka pastinya negara ini tiba-tiba ‘terbalik’ apabila mendengar dakwaan daripada penerbitan industri hiburan, The Hollywood Report (THR) bahawa aset yang katanya dicuri daripada syarikat kepunyaan Kementerian Kewangan, 1MDB ada kaitan dengan yayasan kebajikan milik Leonardo DiCaprio.
Dan yayasan kebajikan Leonardo DiCaprio itu amat terkenal dengan cara kutipan dananya – bukan di majlis atau forum kecil seperti DAP, tetapi di parti-parti liar anjurannya!
Parti-parti liar itu pula bukan calang-calang. THR menyatakan majlis tahunan Yayasan Kebajikan DiCaprio adalah parti liar serba bebas dan ‘bacchanal’ yang dimeriahkan dengan wanita-wanita Slavic yang menjolok mata dan seks secara terbuka di bilik mandi.
‘Bacchanal’ merupakan kata lain untuk ‘orgies’ atau pesta seks berkumpulan.
Jika dakwaan THR itu benar, tidak mustahil dana yang dicuri daripada 1MDB sebelum ini didermakan kepada yayasan berkenaan di salah satu pesta liar tersebut, seperti dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini.
Lebih-lebih lagi, THR menyatakan ahli perniagaan yang didakwa terlibat dengan skandal 1MDB, Jho Low adalah tetamu tetap pesta-pesta seks yayasan kebajikan itu, namun bayangnya tidak kelihatan di majlis tahun ini pada 20 Julai lalu.
Read More / Baca Lagi >>