Quantcast
Channel: RAKYAT MARHAEN
Viewing all articles
Browse latest Browse all 43913

Jangkau usia setahun, terbukti Amanah 'hidup'

$
0
0
Jangkau usia setahun, terbukti Amanah 'hidup'
KUALA LUMPUR - Genap setahun penubuhannya, Parti Amanah Negara (Amanah) kini sudah bersedia untuk menjadi parti arus perdana.
Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir berkata, kini terbukti parti itu mampu 'hidup' dan mempunyai masa hadapan.
"Dengan 150 kawasan didaftarkan, dan 350 cawangan yang telah diluluskan, Amanah terbukti diterima ramai.
"Setelah genap setahun ini, kita menganjak ke alam kedewasaan dalam politik negara, oleh sebab itu sukacita kita maklumkan keberadaan kita dalam politik negara sudah sampai usia matang.
"Jadi kini kami (Amanah) sudah benar-benar bersedia untuk menjadi parti utama, parti politik arus perdana dalam negara kita," katanya dalam sidang medianya di Ibu Pejabat ‎parti itu, di sini, hari ini.
Katanya, sempena setahun penubuhan Amanah, parti itu akan mengadakan  majlis makan malam yang akan berlangsung di Kelab Alumni Universiti Malaya pada 17 September ini.
"Ia akan dihadiri oleh seluruh pimpinan parti Amanah dan rakan terdekat, seramai 300 orang dijemput pada hari tersebut," katanya.
Beliau yang juga merupakan pengerusi sambutan setahun Amanah berkata,  ‎pihaknya juga  akan membuat sambutan kemuncak parti itu pada 24 September ini di Muar Johor.
"Pelbagai aktiviti akan diadakan di Kompleks Y Square Hall, Lebuh AMJ Sungai Abong akan berlangsung pada jam 7 pagi berakhir 12 malam," katanya.
Amanah merupakan serpihan daripada Pas yang diasaskan oleh Mohamad Sabu, bekas Timbalan Presiden Pas yang meninggalkan parti itu bersama-sama beberapa bekas pimpinan.
Parti ini didaftarkan sebagai parti Pekerja-Pekerja Malaysia dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara dan dilancarkan pada 16 September 2015.
Amanah ketika ini mempunyai enam Ahli Parlimen yang sebelum ini menang selepas bertanding atas tiket Pas.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 43913