Personaliti itu bertanya adakah tindakan Kazim Elias bermakna netizen tidak lagi boleh berkongsi dakwaan pencabulan seksual di Internet.
PETALING JAYA: Personaliti Wardina Safiyyah malam tadi menepis tindakan Datuk Kazim Elias membuat laporan polis terhadapnya sebagai membuang masa pihak berkuasa.Wardina melalui laman rasmi Facebooknya berkata bukan dirinya yang menamakan maahad yang dikaitkan kepada dakwaan pencabulan seksual pelajar.
Selain Wardina, Kazim turut menamakan aktivis Syed Azmi Alhabshi dalam laporannya.
“Yang dedahkan nama maahad bukan saya atau Syed Azmi tapi Astro Awani dan polis,” kata Wardina. “Laporan polis oleh ibu yang terbabit pun saya tak kongsi.”
“Kalau pun nak buat laporan polis, patutnya buat satu lagi laporan polis keatas ibu tersebut membuat fitnah, bukan saya atau Syed Azmi.”
Wardina berkata demikian menjawab tindakan Kazim membuat laporan polis petang tadi kerana membuat komen yang berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasinya sebagai penceramah agama.
Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Kazim berkata tindakan perlu diambil bagi membersihkan namanya dan nama sekolahnya, Maahad Tahfiz Darul Barakah.
“Jadi saya minta supaya pihak polis mengambil siasatan ke atas perkara ini supaya tidak berlaku fitnah yang berpanjangan terhadap diri saya, terhadap sekolah saya,” kata Kazim lapor Astro Awani.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencabulan seksual di sekolah itu, selepas dakwaan kejadian seks luar tabii dan pencabulan beberapa pelajar baharu maahad tersebar di laman sosial.
“Jadi? Maknanya kami tidak boleh kongsi dakwaan pencabulan seksual? Mengarut,” tepis Wardina.
“Selamat malam Malaysia,” tambahnya lagi, dan pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.