Dianggarkan kira-kira 2,000 orang berkumpul di luar Dataran Merdeka.
KUALA LUMPUR: Jalan-jalan sekitar Dataran Merdeka dibanjiri peserta Tangkap MO1 yang menuntut penangkapan individu misteri (MO1) yang dikaitkan dalam laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).Walaupun perhimpunan #TangkapMO1 bermula perlahan dengan hanya beberapa ratus peserta berkumpul di Masjid Negara dan kompleks beli-belah Sogo, angka itu kini meningkat kepada kira-kira 2,000.
Mereka berkumpul di Jalan Raja, berhampiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di luar bangunan Dataran Merdeka.
Peserta himpunan membawa sepanduk dengan melaungkan “Hidup Hidup, Hidup Rakyat, tangkap tangkap, tangkap MO1.”
Turut dilihat di antara peserta ialah struktur seperti sangkar, kemungkinan besar dibuat untuk kelihatan seperti sel penjara dengan karikatur badut mirip Perdana Menteri di dalamnya.
Kebanyakan peserta berpakaian hitam dan putih, selaras dengan tema perhimpunan #TangkapMO1.
Kawasan sekitar Dataran Merdeka dikawal pasukan berpakaian warna biru manakala penganjur dan wakil pembangkang membaca ucapan DOJ yang menyifatkan huraian terperinci MO1.
Sebelum ini pihak polis sudahpun memberi amaran kepada penganjur perhimpunan iaitu tiada kebenaran diberikan bagi mereka untuk berkumpul di dalam kawasan Dataran Merdeka.
Polis di luar Masjid Negara juga sebelum ini memberi amaran kepada peserta untuk bersurai.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Antara wajah-wajah yang ditemui dalam himpunan itu ialah Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara MP Tony Pua, aktivis belia dan ahli jawatankuasa penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Amanah Shah Alam Khalid Samad.
Aktivis ikonik lain yang kerap dilihat memberi kenyataan berhubung Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan Barisan Nasional dan skandal penyelewengan dana 1MDB juga turut hadir.