KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Himpunan #TangkapMO1 pada Sabtu lalu yang dihadiri hampir 3,000 individu merupakan tamparan hebat buat Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mendakwa ia tidak akan mendapat sambutan.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata angka itu amat menggalakkan berikutan kumpulan anak muda yang majoritinya berusia kurang dari 30 tahun itu tetap hadir meskipun ‘diugut’ oleh pelbagai pihak.
“Mereka tetap berani menghadiri himpunan itu walaupun diancam dengan penangkapan, tahanan reman, pembatalan biasiswa, dibuang universiti dan dimarahi keluarga,” tegasnya.
Sebelum ini, Nur Jazlan berkata himpunan #Tangkap MO1 yang dibuat bagi mendesak penangkapan individu bergelar ‘Malaysian Official 1’ tersebut tidak lagi efektif kerana kononnya ‘orang sudah penat dan jemu dengan demonstrasi.’
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pula berkata himpunan itu membuktikan mahasiswa dan anak muda sanggup mengambil risiko tinggi asalkan dapat menyuarakan bantahan mereka kepada tindakan pihak berkuasa yang terus berdiam diri mengenai ‘Malaysian Official 1.’
“Kita harap anak-anak muda berani yang akan mewarisi masa depan negara itu akan dapat terus bertindak mengikut prinsip moral dan akhlak yang baik seperti hari ini,” katanya.
Perhimpunan anjuran mahasiswa tersebut bermula kira-kira pukul 2.00 petang di dua kawasan berkumpul, iaitu pusat membeli-belah Sogo dan Masjid Negara sebelum peserta kemudiannya berarak menuju ke Dataran Merdeka.