Hari ini hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 59. Setiap tahun kita meraikannya kerana itulah tanda kita bebas daripada ikatan penjajahan setelah ratusan tahun sebelumnya, silih berganti dirantai oleh beberapa negara asing sejak tahun 1511 lagi.
Merdeka sebenarnya mempunyai pengertian dan ruang lingkup yang sangat luas. Ia tidak saja bermakna bebas daripada penjajahan atau cengkaman negara asing, malah mengisinya dalam ertikata sebagai manusia yang merdeka, jauh lebih mendalam pengertiannya.
Sebagai manusia, makna paling asas bagi merdeka ialah kebebasan serta keberanian untuk menyatakan antara yang benar dan yang salah. Tidak guna kita merdeka, mengaku merdeka atau berbangga setelah 59 tahun bebas daripada penjajahan, kiranya masih ada ketakutan untuk menyatakan kebenaran secara terbuka.
Tidakkah benar dan salah itu seperti berbezanya hitam dengan putih? Lalu, mengapa masih ada yang ragu-ragu untuk menyatakannya?
Sejak kecil kita memang diajar mengenal antara yang salah dan benar atau antara yang baik dan buruk. Kepada anak-anak juga kita selalu mengatakan demikian. Kita akan pantas mengatakan kepada mereka bahawa mencuri misalnya, biar sebiji telur ayam sekali pun, tetap salah dan berdosa.
Jika mengetahui ada kecurian, kita mesti melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kalau kita kenal pencuri pula, kita mungkin memberitahu pencuri terbabit bahawa mencuri adalah perbuatan yang salah. Kemudian, kita tentu akan menjauhi pencuri terbabit dan enggan berkawan dengannya. Berkawan dengan pencuri memungkinkan barang kita juga turut dicuri suatu hari nanti atau mungkin akhirnya bersubahat memakan hasil curi.
Pokoknya, seseorang yang kenal antara benar dan salah, bukan saja membenci perbuatan mencuri, berusaha mencegahnya dan akhirnya akan bertindak menjauhi pencuri terbabit.
Read More / Baca Lagi >>