Isu penutupan banyak cawangan bank baru-baru ini berkaitan dengan langkah bank dalam menyelaraskan operasi mereka, kata satu sumber penganalisis ekonomi serantau.
Catatan beliau yang mulai viral di media sosial memberitahu, banyak berlaku pertindihan cawangan ketika penggabungan sejumlah bank di Malaysia sebelum ini antaranya Hock Hua Bank dan Ban Hee Lee Bank.
“Bank-bank tersebut menjadi CIMB, Maybank dan sebagainya. Jadi, ada kawasan terdapat dua atau tiga cawangan bank yang sama dalam kawasan kilometer radius yang kecil,” ujarnya.
Menurutnya, Bank Negara mensyaratkan bank-bank berskala besar supaya tidak menutup cawangan terbabit untuk beberapa tahun.
“Waktu tersebut dah tamat, maka sekarang Maybank dan CIMB menyatukan semula cawangan tapi di kawasan yang terlalu banyak pelanggan dan menguntungkan, bank boleh pilih untuk kekalkan cawangan. Contohnya di Taman Tun Dr Ismail KL, ada dua cawangan Maybank,” jelasnya.
Sumber itu juga menyebut kerajaan yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir ketika itu mengarahkan bank-bank digabungkan pada 1998 bagi mengukuhkan sistem perbankan negara dan mengelak wang pendeposit di bank berskala kecil daripada terjejas.
“Jadi, dalam masa berbelas tahun sejak penggabungan bank, CIMB dan Maybank sudah ada pemerhatian dan perancangan. Cawangan mana harus ditutup, bagaimana nak menempatkan semula pekerja dan sebagainya,” jelas sumber itu.
Turut dinyatakan kedudukan Maybank sebagai anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang merupakan salah satu penyumbang dividen kepada sejumlah saham di Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020).
“Maka baguslah mereka menyelaraskan operasi mereka. Kita sebagai pendeposit ASB, ASN dan lain-lain akan terus dapat dividen yang baik,” jelasnya lagi sambil menyifatkan isu penutupan cawangan bank ini tidak perlu dipolitikkan.
Read More / Baca Lagi >>