Quantcast
Channel: RAKYAT MARHAEN
Viewing all articles
Browse latest Browse all 43913

Sanusi gembira jabat tangan Mahathir-Anwar

$
0
0
Beliau menyeru semua organisasi yang berkaitan dengannya dan Anwar supaya bersama menentang kemungkaran yang sedang melanda negara.
sanusi
PETALING JAYA: Tan Sri Sanusi Junid gembira apabila mengetahui Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjabat tangan di mahkamah hari ini.
“Syukur kepada Allah atas petunjuk daripadaNya,” kata bekas Menteri Besar Kedah, antara seteru politik Anwar ketika dalam Umno.
Hari ini, bekas menteri itu menceritakan dirinya dan Anwar mempunyai sejarah yang panjang, dan mempunyai senarai pertubuhan yang mereka bina, antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Badan Revolusi Ugama, Koperasi Shamelin Berhad, Yayasan Anda dan Maramunjangan.
“Saya menyeru kepada semua yang pernah berkaitan atau berhubungan dengan organisasi ini (supaya) mengenepikan semua perasaan dan bersama menentang kemungkaran yang sedang melanda negara ini,” tegasnya.
Susulan kontroversi 1MDB dan derma politik RM2.6 bilion tahun lalu, Sanusi antara tokoh Umno yang menyertai Mahathir mengkritik Presiden Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kontroversi itu menyaksikan Mahathir keluar daripada Umno dan mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, sebuah parti ala Umno yang sedia bekerjasama dengan parti Anwar, PKR untuk mencabar Najib dan dominasi BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Di mahkamah hari ini, Mahathir tampil ke pendengaran permohonan Anwar untuk mengisytiharkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) melanggar Perlembagaan. Beliau mendakwa kehadirannya kerana berminat dengan isu berkaitan keselamatan negara.
Mahathir sempat bertemu Anwar sebelum mahkamah bersidang dan mereka kelihatan berpelukan seketika dan bersalaman. Mereka beransur ke bilik saksi dan berbincang selama 30 minit.
Tindak-tanduk mereka menggamit perhatian media dan media sosial, yang riuh dengan perbualan mengenai kerjasama politik dan permohonan maaf antara keduanya.
Pertemuan itu merupakan yang pertama selepas genap 18 tahun dan tiga hari Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri atas tuduhan salah laku seks pada 1998, lalu mencetuskan tunjuk perasaan dan kempen ‘reformasi’ besar-besaran yang akhirnya membawa kepada perletakan jawatan Mahathir pada 2003.
“Saya paling gembira kerana saya kenal Anwar sejak tahun 1961 waktu di Kolej Melayu Kuala Kangsar,” kata Sanusi.
Dalam wawancara Mingguan Malaysia 14 April 2013 yang dipetik daripada blognya, Sanusi berkata mendengar nama Anwar menyebabkan darahnya menggelegak.
“Ibrahim (Presiden Perkasa Ibrahim Ali) adalah seorang yang lebih berprinsip daripada Anwar,” kata Sanusi, ketika diminta pandangan mengenai perkembangan politik dan keadaan Anwar ketika itu.
“Saya melihat beliau ini seperti Tan Sri P Ramlee. Anwar boleh berlakon segala adegan tetapi P Ramlee tidak berlakon dalam adegan seks.”

Viewing all articles
Browse latest Browse all 43913