Beliau menasihatkan menteri Wan Junaidi supaya kaji peranan dan tanggungjawab AG jika mahu pertahan Apandi.
PETALING JAYA: Peguam Haniff Khatri Abdulla hari ini menasihatkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya kaji peranan dan tanggungjawab peguam negara untuk memahami erti “kedaulatan undang-undang”.“Ataupun beliau boleh memperolehi nasihat tersebut daripada mana-mana peguam berkelayakan sebelum cuba untuk mengelirukan rakyat Malaysia, bahawa kononnya isu yang dibangkitkan itu ‘tidak penting dan tidak sesuai’,” katanya di Facebook hari ini, merujuk kepada kekecohan sekitar video yang memaparkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menari bersama menteri.
Haniff, yang juga peguam bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas kenyataan Wan Junaidi sebelum ini hari ini yang berkata tari-menari terbuka Apandi bersama para menteri semasa sambutan Hari Merdeka baru-baru ini tidak salah.
Bekas timbalan speaker itu berkata beliau dan beberapa menteri lain menari dengan AG kerana teruja dengan muzik yang dimainkan.
Wan Junaidi mendakwa etika dan undang-undang tidak relevan dalam kes ini dan pihak yang persoalkan perkara itu dan menjadikannya satu isu bertindak secara tidak wajar.
Haniff menasihatkan Wan Junaidi supaya tumpu menjalankan tugasnya sebagai seorang menteri, bukannya menjadi jurucakap Apandi.
“Peguam Negara sepatutnya boleh menjawab bagi pihak dirinya sendiri.”
Haniff Jumaat lepas menaikkan video 26 saat yang memaparkan Apandi menari bersama beberapa menteri, antaranya Wan Junaidi; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sri Maximus Ongkili serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan Nancy Shukri.
Video itu dikatakan diambil pada sambutan Hari Merdeka.
Haniff berkata Apandi tidak sepatutnya berbuat begitu dan menggesa beliau meletak jawatan sebagai Peguam Negara.