Tan Sri Azman Mokhtar berkata jumlah yang tinggi itu berfokus kepada komponen taman, pusat inovasi dan pembelajaran serta meningkatkan hubungan laluan di sekitarnya.
KUALA LUMPUR: Kos sebanyak RM650 juta untuk mewujudkan Taman Tugu meliputi 4 komponen termasuk penyenggaraan selama 10 tahun, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Tan Sri Azman Mokhtar.
Azman berkata kos tersebut tidak hanya difokuskan kepada komponen taman semata-mata sebaliknya ia juga termasuk pusat inovasi dan pembelajaran serta meningkatkan hubungan laluan di sekitarnya seperti yang dirancang.
“Kita akui ia satu jumlah yang besar. Kalau kita ambil kira kos untuk taman hanya suku saja daripada kos itu, manakala untuk pokok (penebangan dan penanaman semula pokok), 5% saja.
“Tetapi kita laburkan juga untuk komponen ‘connector’ (hubungan) yang kita rancang dan kos penyenggaraan untuk 10 tahun,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Taman Tugu Public Engagement Sessions’ di sini hari ini.
Kira-kira 300 peserta terdiri daripada orang awam menyertai sesi pertama yang diadakan di Mercu UEM, KL Sentral di sini, hari ini.
Projek Taman Tugu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Ahad lalu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Khazanah dalam mentransformasikan kawasan hutan sekunder di belakang Tugu Negara menjadi taman rimba kota.
Read More / Baca Lagi >>