Badan pejuang isu royalti Kelantan 'R' akan dihidupkan semula bersama dengan Parti Amanah Negara (Amanah), kata jawatankuasa pengasas NGO itu, Hishamudin Ghazali.
Pengumuman itu dibuat oleh Hishamudin yang lebih dikenali dengan nama Sham Ghaz dalam ceramah perdana di pusat khidmat Dun Salor malam ini.
Menurut Sham Ghaz, R seumpama mati apabila penaung mereka, Datuk Husam Musa tidak dilantik lagi sebagai exco kerajaan negeri selepas Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi menjadi menteri besar.
"Saya sendiri telah ditamatkan dari sebuah GLC milik kerajaan negeri," kata Sham Ghaz sebagai penceramah pertama malam ini.
Menurut Sham Ghaz, ada tiga tunggak utama punca sokongan rakyat kepada Pas di Kelantan dalam pilihan raya umum ke 13 lalu.
Isu itu adalah tuntutan royalti oleh NGO R, cadangan pembinaan lebuhraya dan stadium oleh Datuk Husam Musa dan usaha membawa balik pengundi luar melalui pertandingan Husam di Putrajaya.