Kegagalan SPR menyelesaikan masalah persempadanan menyebabkan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya sebelum ini walaupun tewas dari segi bilangan undi.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mungkin menyelesaikan masalah persempadanan berdasarkan prinsip “seorang satu undi” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata ahli akademik Dr Azmi Sharom.Menurut pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM) itu, kegagalan SPR menyelesaikan masalah persempadanan secara keseluruhan menyebabkan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya sebelum ini walaupun tewas dari segi bilangan undi.
“SPR tidak begitu peka dan prihatin terhadap prinsip ‘seorang satu undi’ yang merupakan keutamaan dalam sesebuah negara demokrasi.
“Lihat sahaja pada persempadanan kawasan yang jauh bezanya. Kawasan dengan hampir 200,000 pengundi hanya satu kerusi, manakala kawasan sekecil Putrajaya juga diletakkan satu kerusi,” katanya kepada pemberita di UM petang ini.
Sebelum ini, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah akan dilaksana bermula Khamis ini.
Kajian semula itu dilaksana mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.
Read More / Baca Lagi >>