Nazri berkata, bekas perdana menteri itu sudah mendapat semua yang dimintanya.
JELEBU: Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berjanji akan memastikan Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat semua alat yang diperlukan untuk menjatuhkan perdana menteri mengikut undang-undang.
“Saya beri jaminan bagi pihak perdana menteri Malaysia, apa juga permintaan Tun Mahathir yang legit, ikut undang-undang nak menjatuhkan PM, kita (kerajaan) akan beri. Parti kita dah beri. Nak apa lagi?
“Esok kalau Dr Mahathir nak buat demonstrasi jalanan, tolong beritahu saya. Saya akan meyakinkan pihak polis untuk beri peluang kepadanya berdemonstrasi, walaupun masa dia jadi PM dulu, dia tak pernah pun bagi kita buat sedemikian.
“Apa lagi yang dia fikir dia perlukan untuk hadapi pilihan raya umum akan datang?” soal Nazri dalam satu temubual dengan FMT.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, kerajaan sudah meluluskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diasaskan Dr Mahathir kerana tahu “pembangkang tidak mahu beliau”.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, satu-satunya perkara yang tidak diberikan kerajaan kepada bekas perdana menteri itu ialah wang.
Nazri berkata demikian sebagai mengulas pertemuan pemimpin berusia 91 tahun itu dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, pada Khamis lalu.
Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memberitahu FMT, Dr Mahathir menyerahkan Deklarasi Rakyat yang mengandungi 1.4 juta tandatangan bagi mendesak pengunduran Datuk Seri Najib Razak.
Read More / Baca Lagi >>