Menteri kehakiman Thailand berkata permintaan Justo untuk menghabiskan hukuman penjara di negara asalnya dinafikan selaras dengan undang-undang Thailand.
BANGKOK: Keputusan menolak permintaan bekas pekerja PetroSaudi International, Andre Xavier Justo, untuk menjalani baki hukuman penjara di negaranya Switzerland, adalah ‘selaras dengan undang-undang Thai’.
Menteri Kehakiman Thailand, Jen Paiboon Koomchaya berkata di bawah undang-undang negara itu, seseorang yang memohon dipindahkan bagi menjalani baki tempoh hukuman penjaranya, mestilah mempunyai “tidak kurang setahun baki” tempoh hukumannya.
“Tetapi baki penggal penjara banduan ini (Justo) ialah 9 bulan, yang tidak memenuhi syarat undang-undang perjanjian pemindahan (banduan).
“Keputusan Jabatan Koreksional adalah selaras dengan perjalanan undang-undang,” katanya.
Paiboon menafikan dakwaan portal berita ‘Sarawak Report’ dan sebuah akhbar Switzerland ‘Le Temps’ kononnya Bangkok membuat keputusan itu kerana tekanan pihak luar.
“Bagaimana sebuah negara lain boleh campur tangan dalam urusan dalam negeri kami. Hakikatnya ialah beliau (Justo) tinggal 9 bulan lagi hukuman penjaranya,” kata menteri itu.
Justo mengaku bersalah pada 17 Ogos tahun lepas cuba mengugut PetroSaudi International, yang mempunyai urusan dengan 1Malaysia Development Berhad.
Mahkamah itu memerintahkan hukuman penjara bermula pada 22 Jun, hari Justo ditangkap di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thai yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan denda antara 2,000 baht (RM222) dan 20,000 baht (RM2,223).