Sejak lewat petang semalam telah tersiar berita di media dan portal dalam talian mengenai kenyataan Najib Razak berhubung pertemuan Tun Mahathir Mohamad dengan Yang Dipertuan Agong berkaitan Deklarasi Rakyat.
Dalam kenyataan media itu, Najib memberitahu bahawa Yang Dipertuan Agong hanya mengambil maklum perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir, tetapi tidak boleh mencampurinya.
Ini kerana, menurut Najib, deklarasi yang diusahakan itu tidak mengikut Perlembagaan dan sebarang tindakan sepatutnya dilakukan menurut amalan lazim iaitu sama ada melalui Parlimen atau sistem pilihanraya yang melibatkan rakyat.
Membaca berita yang tersiar itu, ramai yang tertanya-tanya, mengapa Najib sendiri yang mengeluarkan kenyataan yang berkaitan usaha untuk menyingkirkannya?
Sudah tentu jika kenyataan seperti itu mahu dikeluarkan, ia lebih sesuai dilakukan oleh pihak Istana Negara sendiri. Namun, jika pihak Istana Negara tidak berbuat demikian dan oleh kerana pemakluman mengenai pertemuan dengan Tun Mahathir itu dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong kepada Najib sendiri, ia lebih berupa pernyataan mengenai pendirian baginda kepada Perdana Menteri semata-mata.
Apakah ia perlu dijadikan kenyataan umum dengan Najib seolah-olah membela dan mempertahankan dirinya sendiri?
Tidakkah dengan Najib sendiri mengeluarkan kenyataan tersebut menunjukkan beliau begitu terdesak dan agak terganggu dengan pertemuan Tun Mahathir dengan Yang Dipertuan Agong itu?
Dalam masa yang sama, di media-media sosial pula tersebar kenyataan media penuh empat perenggan yang dikeluarkan oleh Najib itu.
Meneliti kenyataan itu, ramai yang perasan mengenai wujudnya beberapa kesilapan fakta dalam kenyataan media itu, antaranya:-
- dalam perenggan pertama, PPBM disebut sebagai Parti Pribumi Perkasa Malaysia sedangkan namanya yang betul ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Pribumi Perkasa adalah NGO milik Ibrahim Ali.
- pertemuan Tun Mahathir dengan Yang Dipertuan Agong dikatakan berlangsung di Istana Bukit Malut, Langkawi walhal yang diberitakan sebelum ini ia berlaku di Istana Anak Bukit, Alor Setar.
- jawatan sebenar Tun Mahathir ialah Pengerusi dan bukan Penasihat PPBM.
- dalam perenggan ketiga PPBM bertukar menjadi PBBM.
Benarkah ia surat asli yang dikeluarkan oleh Najib?
Jika ia benar, mengapa berlaku kesilapan-kesilapan fakta yang besar seperti itu?
Bukankah ia sesuatu yang memalukan Najib dan Pejabat Perdana Menteri atau PMO?
Read More / Baca Lagi >>