Penganalisis politik menyifatkan pengambil alihan sebuah parti di Sabah oleh bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai perkara biasa.
Ini kerana menurut Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib, polarisasi dan corak politik di Sabah berbeza dengan Sarawak dan Semenanjung.“Di Sabah, sebarang penubuhan atau pembubaran dalam negeri itu dianggap sebagai perkara biasa. Apa yang dapat kita lihat, rakyat di Sabah lebih mementingkan soal ketokohan berbanding parti itu sendiri.
“Mereka di Sabah lebih kepada soal politik dalam negeri Sabah itu sendiri. Yang penting adalah penerimaan rakyat Sabah terhadap Shafie dan tampuk kepimpinannya nanti. Itu yang perlu dikaji,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.
Mohd Shafie dilaporkan mengesahkan beliau telah mengambil alih sebuah parti politik di Sabah yang ditubuhkan sejak 2013.
Parti tersebut kini dalam proses pembaharuan dan permohonan untuk pertukaran nama dan logo serta telah dihantar kepada Pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan.
Mohd Shafie bagaimanapun enggan mendedahkan nama baharu serta nama parti yang telah diambil alih itu bagi menghormati beberapa pihak dan pengumuman hanya akan dibuat selepas mendapat kelulusan daripada ROS.
Md Shukri berpendapat, apa yang dilakukan oleh Mohd Shafie hanyalah untuk membuktikan survivalnya dalam arena politik tanah air.
Katanya lagi, sekiranya Mohd Shafie berjaya menghimpunkan pemimpin-pemimpin kanan dari pelbagai parti, tidak mustahil Mohd Shafie akan menggugat Umno di Sabah.
“Dia pernah jadi Naib Presiden Umno dan berada dalam ranking ketiga di Umno, ini polemik survival dan maruahnya.
Read More / Baca Lagi >>