Calon bakal Perdana Menteri, Hishammuddin Hussein nampaknya tidak setuju dengan cadangan Mukhriz Mahathir yang mengatakan jika PPBM bersama Pakatan Harapan memenangi PRU 14 akan datang, tempoh perkhidmatan Perdana Menteri akan dihadkan kepada dua penggal saja.
Kata beliau, cadangan tersebut tidak berasas dan boleh dipersoalkan kewajaran Mukhriz mengemukakannya.
"Dia (Mukhriz) kena jawab balik kenapa ayahnya memerintah selama 22 tahun? Mengapa tidak dicadangkan ketika ayahnya memimpin kita selama 22 tahun?
"Sekarang bila ayah dia tidak lagi memimpin, macam-macam cadangan. Tetapi kalau dia ikhlas, cadangan itu mesti dibawa semasa ayahnya menjadi Perdana Menteri dahulu," kata Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO.
Mengapa Hishammuddin begitu pantas menyatakan tidak setuju sedangkan ia adalah cadangan yang baik untuk kebaikan negara serta rakyat oleh PPBM dan Pakatan Harapan yang bakal mengambil alih pentadbiran negara?
Tidakkah beliau sedar isu menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri lebih meruncing sekarang berikutan onar yang telah ditunjukkan oleh Najib berbanding sebelum ini?
Sebelum ini, meskipun Perdana Menteri sering diasak untuk meletakkan jawatan, mereka tidak pernah terkait dengan apa-apa skandal kewangan mega yang akhirnya memperlihatkan keinginan mempertahankan jawatan itu lebih bertujuan melindungi kesalahan yang telah dilakukan, bukan kerana ingin terus berkhidmat kepada rakyat serta negara.
Melalui apa yang telah ditunjukkan oleh Najib dalam masa yang singkat memegang kuasa, hanya menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dapat membendung kelakuan buruk seorang pemimpin daripada terus berleluasa, selain memastikan urus tadbir yang lebih baik untuk negara.
Read More / Baca Lagi >>