Umno-BN cuma perlu mempersiapkan aktivis muda mereka dengan ilmu keharmonian, kemahiran insani, kepimpinan dan kekuatan perangkaian.
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) lebih realistik dengan pengundi, berbanding ‘pihak lain’ yang hanya bermain politik kebencian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam amanatnya kepada Puteri Umno hari ini, Najib berkata “belah sana” – dipercayai merujuk kepada pembangkang – hanya bercakap soal politik, berbeza dengan Umno yang membawa agenda yang diterima rakyat.
“Kita sudah melangkaui soal politik dan lebih realistik daripada dapatkan undi mereka,” kata Najib di Karnival Wanita Muda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
“Kita mesti fikir, burukkan orang lain tak bawa kita ke mana-mana. Kalau kita ada agenda yang lebih baik untuk negara, barulah negara akan maju.”
BN menang besar dalam pilihan raya negeri Sarawak dalam apa yang dikata analisis kesan daripada keyakinan pengundi kepada agenda Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun lepas, pendekatan berasaskan keperluan komuniti memastikan kemenangan BN walaupun pembangkang membawa isu 1MDB serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam siri ceramah mereka.
Membina atas kekuatan itu, Najib berkata cabaran sekarang adalah menyiapkan aktivis muda BN dengan kemahiran yang perlu untuk berdepan cabaran masa akan datang.
“Seperti ilmu keharmonian, kemahiran insani (soft skill), kepimpinan dan kekuatan perangkaian (networking),” katanya.