Setelah menyaksikan sendiri sambutan rakyat Kelantan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) setelah Husam Musa secara rasmi berada dalam parti itu ia merujakan saya untuk melihat macam mana pula senarionya di negeri Johor Darul Takzim. Apakah ledakan semangat di Salor akan melantun ke Johor?
Setakat ini saya mengira sambutan terhadap Amanah di Kelantan (yang saya bataskan dalam zon Pantai Timur) cukup memberangsangkan. Semangat rakyat khasnya anak-anak muda yang sedikit sejuk dan semacam “tumpul nafsu” sebelum ini bertukar 360 darjah. Kelewatan Husam mengambil sikap menyebabkan mereka menjadi dingin dan rasa “putus angin”.
Di Pantai Timur Pas oleh bertahan dan berpuasa hati dengan pengaruhnya di Terengganu dan sedikit di Pahang. Amalan politik dan sifat “Terengganusime” masih boleh mampu mengukuhkan kedudukan parti itu selagi masih ada saki baki pimpinannya yang menerima kuliah dari “Kubang Lembek”.
Tetapi untuk Kelantan Pas kena beringat kalau pun mahu melupainya terus. Ini adalah pandangan di luar keanguhan dan rasa hebat diri. Terpulang.
Gara-gara itu maka apabila Amanah mengadakan kernival dan kemuncak sambutan ulang pertama penubuhannya di Sungai Abong Muar Johor, tanggal 23 dan 24 September 2016 ia merujakan saya untuk menyaksikan sendiri apa yang berlaku.
Apakah majlis itu bakal mengwujudkan gelombang baharu di Johor sebagai sambungan kepada gema di Kelantan? Apakah “geruk” (guruh) yang sudah “berkokok” (berbunyi) di Kelantan itu akan menurunkan hujan lebat di Johor?
Saya jadi berminat untuk menyaksikan sendiri, kerana seperti mana diketahui gagasan atau cetusan menubuhkan Amanah ia bermula di Bakeri Muar Johor rentetan terbentuknya Gerakan Harapan baharu (GBH).
Di bumi itulah terbenihnya Amanah yang kini sudah melembagakan sebuah pokok yang dahan dan akarnya menjalar ke seluruh negara hingga Sabah dan Sarawak.
Semasa himpunan GHB di Bakeri dipelopori 18 pemimpin Pas yang dibuang dalam muktamar dua tahun lepas itulah terbenihnya Amanah. Di situlah tercetusnya idea untuk mengagaskan sebuah gerakan atau wadah baharu bagi mereka yang terbuang itu meneruskan perjuangan membela rakyat dan menumbangkan politik “sengkekisme” UBN.
Pada majlis itu saya tidak hadir atas sebab dan alasan tersendiri. Saya tidak mahu bersubahat memberi sokongan moral kepada penbubuhan gerakan untuk menentang Pas. Bagi saya tidak wajar ada satu fraksi baharu dalam Pas kerana itu boleh melemahkan parti agama itu.
Tindakan itu juga menyedihkan kerana pada saat Pas diharap menjadi parti alternatif kenapa ia harus terbelah dua. Saya berpendapat pemimpin yang kalah patut memberi ruang kepada pimpinan baharu menunjukkan keupayaan mereka dan meminimakan rasa dendam. Sebab itu pada awal saya berpendapat penubuhan GHB – Amanah sesuatu yang kurang wajar.
Itu sebab saya tidak hadir. Jadi apabila majlis sambutan ulang tahun itu di buat di daerah sama, saya mahu tonton apakah semangat sambutan kepada Amanah sama atau melebihi daripada apa yang berlaku setahun lalu itu.
Mengagahi diri
Makanya walaupun dalam keadaan diri masih belum sihat sepenuhnya saya mengagahi diri juga untuk sampai ke majlis itu. Jaraknya dari rumah saya sejauh 187 km. Inilah perjalanan berkereta dalam negeri paling jauh saya tempuhi sejak sembilan bulan lalu.
Saya ke sana bukan apa kerana saya tidak mudah percaya kepada gambaran-gambaran dan cerita menerusi media sosial mengenai sambutan terhadap Amanah dewasa ini. Saya seorang yang tidak mudah percaya kepada cerita sekadar “dengar-dengar” tetapi harus melihatnya dengan mata kepala sendiri. Saya berpegang kepada prinsip menulis tentang sesuatu yang kita alami, lihat dan berada dalam sesuatu event itu.
Sepanjang perjalanan saya itu ada sesuatu yang menunjal-nunjal dalam diri saya apabila terkenang kepada zaman Pas merangkak di Johor akhir tahun persis 70-an dahulu.
Betapa susahnya Pas untuk mengembangkan sayap dan berdiri tegak di Johor ketika itu. Kerana teringat itu menyebabkan saya terfikir apakah Amanah dapat bergerak lancar tanpa halangan dan kerenah politik tahun 70-an.
Johor adalah lubuk dan kubu Umno. Betapa seksanya Pas untuk bergerak ketika itu. Walaupun Pas sebuah parti Islam (agama), namun bukan mudah rakyat Johor untuk meninggalkan Umno parti nasionalis itu.
Read More / Baca Lagi >>