NAMA Tengku Razaleigh Hamzah, tidak dinafikan, cukup sinonim dengan dunia politik tanah air. Aura tokoh veteran politik ini masih kuat. Pandangan yang diberikan beliau dalam aspek politik, pembangunan, ekonomi dan lain-lain sentiasa diikuti dengan teliti. Malah karakter dan prinsipnya membuatkan beliau terus dihormati pihak kerajaan atau pembangkang. Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, MOHD ZAILANI ABD RAHMAN dan wartawan, NOR AKMALIAH RAZAK berpeluang mendapatkan pandangan beliau, khususnya dalam konteks politik semasa. Ikuti wawancara yang diadakan di kediaman beliau di Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.
Apa pandangan Tengku terhadap senario politik di Kelantan khususnya selepas lebih 20 tahun diperintah Pas.
Orang Kelantan sudah nampak selesa dengan Pas, terutama sekali dengan pimpinan yang tidak memaksa dia buat sesuatu. Orang Kelantan amat bebas, amat berdikari pemikirannya. Amat selesa dalam Pas tetapi dia cepat jemu dengan Pas kerana sudah lama dalam keadaan begini tidak ada perubahan, tidak ada sesuatu perubahan.
Orang Kelantan juga memikirkan mengenai masa depan, terutama sekali pendidikan anak-anak mereka. Orang Kelantan ini mahu tengok kita lebih daripada orang lain. Jadi kalau dia tengok masa depan anak-anak dia, negeri dia, tidak sebagaimana yang diharapkan, dia akan berubah. Walaupun keadaan itu selesa dengan masa ini, kalau tidak meyakinkan, dia boleh berubah.
Sebab itu pada tahun 1977, apabila bergolak sedikit politik di Kelantan disebabkan krisis pemimpin Pas, orang Kelantan mengambil kesempatan kerana sudah lama duduk dalam keadaan yang tidak menyenangkan dia.
(Akibatnya) dia bertindak mengubah keadaan. Apabila mereka rasa pihak pimpinan Pas ketika itu bermaharajalela, gadai kawasan balak dengan luasnya - 300,000 ekar lebih - kepada orang luar. Orang Kelantan marah.
Sebab itu orang Kelantan, walaupun dia tahu dia rugi dengan enakmen ‘reservation’. Menyebabkan nilai tanah dalam kawasan rizab Melayu rendah daripada tidak dalam rizab Melayu, dia rasa selamat. Oleh kerana orang luar tidak boleh miliki tanah, orang Kelantan tahu jika dia tidak akan untung banyak, tetapi dia mahu kekal dalam keadaan ini. Tetapi kalaulah situasi itu memaksa dia ubah kerana kedudukan terancang, ia akan ubah. Dia tidak takut hendak hadapi risiko.
Bagaimana Tengku melihat perbezaan politik hari ini dengan zaman Tengku?
Orang mungkin tidak bersetuju dengan pandangan saya. Tengok sekarang ini banyak orang memikir kepada kepentingan diri lebih daripada kepentingan rakyat. Kita tengok pemimpin dulu semuanya mati tidak ada duit, tiada ada harta, Tengku (Abdul Rahman), begitu juga Tun Razak dan Tun Hussein Onn, selain pemimpin pembangkang, contohnya Datuk Asri Muda dan Ustaz Fadzil Noor.
Tetapi orang sekarang bertujuan lain sedikit. Biarlah, keadaan negara kita sudah berubah. Kita sudah maju sedikit dan sudah tentu hendak merasa juga kemewahan yang ada. Tetapi janganlah itu menjadi perkara utama mereka. Menyertai parti politik (tujuannya) untuk teruskan perjuangan.
Tetapi nampaknya (ada yang) lebih materialistik daripada dulu-dulu. Macam saya dulu, saya masuk bukan niat nak jadi menteri. Kita masuk kerana hendak menyumbang tenaga. Saya pilih Gua Musang, dulu (dipanggil) Hulu Kelantan. Saya boleh pilih Kota Bharu (kerana ketika itu) saya jadi Setiausaha Perhubungan Umno Kelantan, Tunku Abdul Rahman menjadi pengerusi.
Saya boleh pilih hendak jadi ketua di mana-mana sahaja pun. Di Gua Musang saya terpaksa berjalan kaki berbatu-batu hendak pergi melawat kampung-kampung. Kenapa saya hendak pilih di sini? Kerana saya hendak berkhidmat. Malah rumah yang diduduki sekarang pun saya beli tanah, bukan saya ambil daripada kerajaan. Saya boleh ambil tanah daripada kerajaan, tidak ada siapa tahu pun. Tapi saya tidak ambil. Ini soal prinsip. Kita buat bukan untuk kepentingan diri. Setakat yang termampu itulah kita lakukan.
Sekarang ini nampak orang yang hendak kepada harta pun bukan hendak satu bilion dua bilion, nak lebih daripada itu. Bukan ratus juta lagi. Mengapa jadi begitu? Kita utamakan lebih soal fizikal daripada soal utama yang kita patut berjuang. Islam tidak ajar kita begitu. Ibu bapa kita tidak ajar kita begitu. Jadi apabila kita sudah masuk dalam arena ini kita rasa tamak. Bagaimana kita hendak berjuang untuk orang kalau kita sudah tamak. Kita sudah tidak amanah ataupun kita sudah rasa tamak.
Pas Kelantan tidak lagi dalam keadaan terbaik selepas pemergian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?
Read More / Baca Lagi >>