Amanah sifatkan cadangan separuh masak, PAS mahu penjelasan lanjut manakala PKR setuju dengan bersyarat
PETALING JAYA: DAP percaya cadangan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik bagi memastikan ketelusan dana biaya politik akan hanya menguntungkan BN.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Naib Presiden DAP Dr Tan Seng Giaw berkata cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) tidak jelas, dan dibimbangi akan merumitkan situasi ahli politik.
“Cadangan JKNMPP itu menimbulkan kontroversi kerana ia tidak jelas. Syarat-syarat yang adil dan munasabah perlu diperlihatkan untuk semua ahli politik, sama ada pembangkang mahu pun BN,” katanya.
Semalam, Pengerusi JKNMPP Datuk Paul Low Seng Kuan mengumumkan cadangan untuk menggubal akta yang akan menetapkan semua ahli politik supaya mengisytiharkan dana yang diterima atau disiasat dan dikenakan tindakan.
Akta itu juga akan mengharamkan sumbangan tunai daripada sumber asing sama ada kepada parti mahupun ahli politik, termasuk individu, syarikat, yayasan atau persatuan yang berdaftar atau tidak berdaftar serta tidak berpejabat di Malaysia.
Akta itu juga melarang perniagaan milik kerajaan dan syarikat terima kontrak kerajaan atau konsesi membuat sumbangan politik secara langsung, tidak langsung atau berupa barangan.
Semua sumbangan yang dibenarkan perlu disalurkan ke dalam akaun parti atau akaun peribadi baharu berasingan untuk transaksi itu.
Cadangan ini dikemukakan susulan kontroversi sumbangan politik RM2.6 juta yang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menyifatkan cadangan itu sebagai separuh masak. Malah, turut mempersoalkan mengapa cadangan itu tidak dibincangkan dengan semua parti politik terlebih dahulu.
“Sepatutnya, beliau perlu memanggil kami semua supaya boleh membincangkan kaedah dan mekanisme terbaik mengenai akta itu,” katanya.
Manakala PKR pula sedia menyakinkan para wakil rakyat Pakatan Harapan supaya menyokong cadangan itu dengan bersyarat.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata undang-undang penguatkuasaan perlu digubal supaya mewajibkan calon pilihan raya dan pegawai kerajaan Jusa C dan ke atas mengisytihar harta secara terperinci.
Read More / Baca Lagi >>