Pemimpin Baju Merah yang menyerang penyokong Bersih itu tidak bertindak di atas kapasitinya dalam Umno.
PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Mokhtar hari ini mempertahankan Datuk Jamal Md Yunos daripada gesaan parti itu memecatnya, ekoran ketua Umno Sungai Besar itu menyerang konvoi Bersih di Teluk Intan baru-baru ini.
“Saya tidak salahkan Jamal kerana karenah baju kuning (Bersih) juga macam orang samseng. Bak kata pepatah, sudah bertemu buku dengan ruas. Saya juga melihat video tentang Bersih. Mereka bersifat terlalu biadap dan kurang ajar,” katanya kepada FMT.
Bung juga tidak bersetuju Umno mengambil tindakan ke atas Jamal, dengan alasan penglibatannya dalam insiden Sabtu lepas itu adalah atas kapasitinya sebagai pemimpin Gerakan Baju Merah dan bukan jawatannya dalam Umno.
Semalam, bekas ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman menyifatkan tindakan Jamal mengganggu konvoi Bersih memalukan parti itu dan memupuk budaya samseng.
Katanya, Bersih mempunyai hak menjalankan program selagi tidak menyalahi undang-undang.
Bersih 2.0 mengadakan konvoi seluruh negara bagi menarik sokongan orang ramai dan memberi penerangan berhubung tuntutan mereka sempena himpunan Bersih 5 yang dijadualkan pada 19 November, bagi mendesak reformasi institusi dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sabtu lalu, konvoi yang melalui Teluk Intan bergelut dengan peserta Gerakan Baju Merah selepas Jamal bertindak mengoyakkan kain rentang Bersih.
Kejadian itu turut dirakamkan dan klip video itu tersebar luas.
Read More / Baca Lagi >>