
SHAH ALAM 10 MEI : Pimpinan DAP dan Pas terus bersepakat memilih Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR, sebagai calon Menteri Besar bagi penggal ke dua.
Bercakap di hadapan kira-kira 30,000 penonton dalam Majlis Kesyukuran Sempena Kemenangan Pakatan Rakyat Selangor, Pengerusi DAP Selangor
Teresa Kok berkata pimpinan DAP Pusat sudah menghantar surat sokongan kepada DYMM Sultan Selangor untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.
Beliau yang juga bekas Exco Selangor berkata surat tersebut dihantar kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.
“Saya harap tiada masalah dengan jawatan Menteri Besar. Harap juga rakyat memberi sokongan kepada kerajaan baru untuk pastikan pencapaian lebih cemerlang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut menyatakan Pas berpendirian yang sama.
Beliau berkata menerima surat daripada Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dua hari lalu yang memberikan sokongan kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar.
“Kalau ada orang Pas yang tidak percaya, saya boleh tunjukkan surat itu, kalau perlu saya tampalkan di dahi saya,” katanya sambil berseloroh.
Katanya, keputusan sepakat untuk memilih Abdul Khalid sebagai Menteri Besar itu menunjukkan permuafakatan dalam Pakatan Rakyat.
Read More / Baca Lagi >>