
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata sekiranya PRU-13 bersih, bebas dan adil, dengan padang sama rata untuk kedua-dua perikatan, bukan saja undi popular PR akan meningkat sebanyak 60 peratus atau melebihi 65 peratus, tetapi juga memenangi majoriti daripada 222 kerusi Parlimen.
Katanya, sekarang ini, Kabinet pasca-PRU-13 Najib juga menjadi sandiwara malah jenaka kerana mempunyai dua Menteri dan tiga Timbalan Menteri tidak sah walaupun mereka melalui upacara mengangkat sumpah yang tidak sah di hadapan Yang Dipertuan Agong, semalam.
“Amat sedih dan mengejutkan apabila Jabatan Perdana Menteri dan pelbagai jabatan kerajaan lain yang terbabit begitu cuai dan lalai sehingga diabai, malahan dilanggar pematuhan terhadap undang-undang, peraturan, adat dan protokol yang tidak sepatutnya berlaku di dalam demokrasi berparlimen berusia 56 tahun di bawah enam Perdana Menteri.
“Semalam, selepas upacara mengangkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara, Najib menjalankan sesi Kabinet selama dua jam di Bilik Kabinet Putrajaya.
“Bagaimanapun, timbul masalah membabitkan kedua-dua prosiding – kerana sehingga waktu ini, Datuk Paul Low dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) bukanlah Menteri yang sah dan Waytha Moorthy (Pejabat PM), Dr J Loga Bala Mohan (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) bukanlah Timbalan Menteri yang sah kerana mereka belum lagi mengangkat sumpah sebagai Senator,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.